Tuesday, October 20, 2009

Wasiat Seorang Ibu Untuk Anaknya


Setelah Al Haris bin Amr, Raja negeri Kandah berkahwin dengan anak perempuan Auf bin Muhlim, di waktu utusan di raja hendak membawa pengantin perempuan untuk disampaikan kepada Raja tadi, maka ibunya berwasiat kepada anak perempuannya ini. Dia berkata:-

"Wahai anakku!
Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu

aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya,

Tetapi !

Ia sebagai peringatan untuk yang lalai

Dan pedoman kepada yang berakal.

Andai ibu-bapamu dapat memberikan segala-galanya

nescaya,

tidak perlu bagimu seorang suami

dan kau terlalu berharga bagi kami,

Tetapi !

Wanita dicipta untuk lelaki

Lelaki dicipta untuk wanita.

Berceraila kau dari ayunan buaianmu

meninggalkan teratak tempat besarmu

melangkah menuju ke alam baru

yang belum kenal

yang belum biasa

Kau milik suamimu

anggap dirimu sebagai hamba

tentunya suamimu

jadi teman yang paling setia

Bawalah wasiat dariku

sepuluh sifat

sebagai bekalan perjalanan

menuju alam bahagia

Relakan hatimu

sekadar yang ada

semoga suci hatimu

dengan taat setia

dan hulur tanganmu

tanda mahu berganding bahu

jauhkan dirimu dari

segala yang jelek

yang dihidu atau dipandang mata

juga awasi gerak lakumu

agar tidak sumbang mengguris rasa

Sembunyikan suram wajahmu

gantikan ia dengan sinar

secerah sang suria pagi

Dan badan yang semerbak harum

bermandikan bauan

mata berpasak, kening bercelak

itu menambah seri

itu membankitkan berahi

dan…………….

air cukup memada

bagi yang tiada

Jaga masa makannya

juga waktu tidurnya

kerana,

perut kosong hilang bicara

mata mengantuk hilang kesabaran di dada

Kunci mulutmu

tabahkan hatimu

badanmu terselamat

jiwa temanmu tidak terseksa

Simpan dulu kerianganmu

di kala dia berduka

pendamkan kesedihanmu

di kala dia bergembira

akibat aksi tidak senada

hilang simpatimu disebab pertama

keruh suasana disebab kedua

Hulur tanganmu……

andai kau menghulur sebelah tangan

nescaya dia menghulur kedua belah tangan

tidak cukup tangan, nyiru pula ditadahkan

Ketahuilah !

Kasihmu tiada sampai ke mana

Jika hatimu berdua tidak sejiwa

kasih kau, kasihlah dia

benci kau, bencilah dia

Allah saja yang menentukan nasibmu."

"Kau bawalah wasiatku ini, dan sampaikan salamku kepada suamimu." Beginilah ibu tadi menambah pesanan kepada anaknya. Seterusnya wanita ini telah tercapai kedudukan yang mulia di sisi suaminya. Dia telah memperolehi tujuh orang anak lelaki, yang semuanya mereka telah menjadi pemerintah negeri Yaman selepas ayah mereka. Beginilah seterusnya statusnya wanita-wanita yang memiliki kelebihan.

Aku sudahi dengan nama Allah, semoga Dia memberi taufik dan hidayat. Amin.

No comments: