Kaunseling mempunyai matlamat yang jelas iaitu:
1 Membantu klien bertanggunjab keatas dirinya.
2 Memperbaiki imej diri yang negatif.
3 Mengajar klien menyesuaikan diri dengan keadaan.
4 Mempermudahkan atau menggerakkan perubahan tingkah laku.
5 Membantu klien menjadi lebih produktif.
6 Membimbing klien mencari dan memupuk sumber dalaman.
7 Mempertingkatkan kemampuan klien membuat keputusan.
8 Membantu klien menguruskan masalah yang ‘belum selesai’ dalam hidupnya.
Membantu Klien Bertanggungjawab ke atas Dirinya
Melalui sesi kaunseling, klien diajar bertanggungjawab atas diri sendiri. Sifat ‘lepas tangan’ tidak akan mendatangkan hasil yang baik. Klien yang bertanggugjawab keatas dirinya akan berusaha sambil berhati-hati dalam mengatur dan merancang perjalanan hidupnya. Seandainya timbul sebarang masalah, klien akan bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri dan tidak akan menyalahkan orang lain.
Memperbaiki Imej Diri yang Negatif
Imej diri yang negatif merupakan halangan bagi klien untuk mencapai cita-cita atau membuat sebarang tindakan. Klien seperti ini akan menyekat perkembangan dan penggunaan potensi dirinya. Kaunselor akan membimbing klien membentuk imej yang positif. Antara lain, klien belajar memupuk ciri-ciri yang baik dan mengurangkan ciri-ciri yang negatif. Imej diri yang positif menandakan kestabilan personaliti.
Mengajar Klien Menyesuaikan Diri dengan Keadaan
Penyesuaian diri sama ada dengan orang lain atau persekitaran amat penting. Klien yang tidak tahu atau tidak mahu belajar menyesuaikan diri akan mengalami banyak konflik. Klien perlu sedar bahawa dia tidak boleh mengharapkan orang lain atau persekitaran berubah terlebih dahulu. Ada kalanya orang lain atau persekitaran tidak akan berubah. Maka apa yang penting di sini ialah klien belajar menyesuaikan diri degan keadaan sebagai usaha mengurangkan ketegangan dan konflik.
Mempermudahkan atau Menggerakkan Perubahan Tingkah Laku
Ada kalanya, tingkah laku yang sedia ada menjejaskan perjalanan hidup klien. Tingkah laku perlu disesuaikan dengan ‘siapa’ klien berinteraksi, bila, tujuan dan situasi di mana klien berada. Kaunselor akan mengajar klien membuat perubahan tingkah laku yang mampu dilakukannya. Perubahan tingkah laku tidak semestinya besar. Ia boleh merupakan perubahan yang kecil. Faktor yang lebih penting ialah klien apat menguruskan dan mengawal perubahan yang berlaku. Perubahan ini pula biarlah berkekalan.
Membantu Klien Menjadi Lebih Produktif
Kaunselor membimbing klien supaya menyedari bahawa hidup ini tidak statik. Apa yang penting ialah klien perlu berusaha sedaya upaya seandainya dia ingin hasil yang memuaskan. Klien tidak boleh berdiam sahaja sambil mengimpikan satu kehidupan yang berkesan dan memuaskan.
Membimbing Klien Mencari dan Memupuk Sumber Dalaman
Kaunseling menyedarkan klien bahawa setiap manusia mempunyai kelebihannya tersendiri. Klien sering tidak mempedulikan sumber dalaman yang dimilikinya dan seterusnya mengakibatkan situasi helplessness. Klien yang menggunakan sumber dalaman akan berasa bahawa dia boleh mengawal perjalanan hiupnya (setakat yang termampu olehnya).
Mempertingkatkan Kemampuan Klien Membuat Keputusan
Klien sering mengelakkan diri daripada membuat keputusan. Ini kerana tugas dan proses membuat keputusan bukanlah perkara yang menyeronokkan atau menyenangkan. Banyak masalah timbul kerana klien tidak memberi kata putus. Kaunselor membimbing klien membuat keputusan. Klien akan menimbang sendiri beberapa keputusan. Keputusan yang matang memerlukan klien mengambil kira faktor pengorbanan peribadi, masa, tenaga, wang ringgit dan sebagainya (George & Cristiani, 1990). Klien juga akan diajar bagaimana menggunakan sumber yang wujud dalam persekitaran untuk membuat keputusan yang baik.
Membantu Klien Mengurus Masalah yang ‘Belum Selesai’ dalam Hidupnya
Memang benar tidak semua manusia akan mengalami masalah seandainya konflik yang berlaku pada masa dahulu tidak diatasi. Namun, kemungkinan besar wujud keadaan di mana kelemahan seperti kekeliruan, kerunsingan, kemarahan dan salah faham lahir kerana konflik (sama ada kecil atau besar) yang berlaku pada masa dahulu perlu dilihat kembali, diatasi atau dihadapi. Tugas kaunselor di sini adalah untuk membimbing klien melalui proses ini.
No comments:
Post a Comment